Trek Pendakian Gunung_Tiong

Laluan pendakian tidak melalui Kampung Selai Lama,sebaliknya terus dari TNER Selai. Pendakian ke puncak gunung itu boleh dilakukan dalam masa dua hari satu malam. Perjalanan ke puncak bermula dari tapak perkhemahan Lubuk Merekek. Pendaki perlu menyeberangi Sungai Selai yang merupakan sungai utama di situ.

Terdapat 10 Check Point (CP) yang perlu dilalui sebelum pendaki berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Tiong. Bermula dari seberang Sungai Selai, pendaki akan melalui denai yang rata, lembap dan becak serta dipenuhi pacat sehinggalah ke CP 1 iaitu Sungai Sengka. Pendaki perlu menyeberangi sungai yang tidak begitu lebar itu dan masuk semula ke laluan hutan. Sampai di kaki bukit, terdapat satu simpang iaitu sebelah kiri menuju ke Air Terjun Takah Sengka dan sebelah kanan menuju ke Gunung Tiong.

Dahulu sekitar awal tahun 90-an, Orang Asli yang mendaki Gunung Tiong mengatakan pemandangan keliling dapat dilihat dari puncak kerana pokok masih kecil tetapi semakin lama pokok semakin membesar dan terus menutup pemandangan. Bagaimanapun apa yang penting kejayaan mendaki Gunung Tiong serta kepuasan serta pengalaman yang diperolehi itu lebih berharga daripada segalanya.

Gunung Tiong mempunyai hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Terdapat banyak flora di gunung tersebut.